Wednesday 16 October 2013

SOLAT TASBIH - KELEBIHAN DAN KAIFIATNYA

Dari Abdullah Bin Abbas r.a sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Abbas bin Abdul Mutalib r.a :-

“Wahai pamanku! Tidakkah aku berikan kepadamu, tidakkah aku kurniakan kepadamu, tidakkah aku ajarkan kepadamu, tidakkahaku tunjukkan kepadamu sepuluh perkara? Jika kamu melakukannya, nescaya Allah SWT mengampuni dosa-dosamu yang terdahulu dan yang akan datang, dosa-dosa baru maupun dosa-dosa lama, dosa-dosa yang dilakukan dengan sengaja maupun tidak sengaja, dosa-dosa kecil maupun besar, ataupun dosa yang dilakukan dikhalayak ramai, semuanya akan diampuni. Yaitu hendaklah engkau mengerjakan empat rakaat (Dengan niat Solat Tasbih) dan (dan Baginda SAW menerangkan cara mengerjakan Solat Tasbih itu).”


“Jika mampu maka kerjakanlah Solat itu setiap hari, jika tidak maka setiap hari Jumaat atau sebulan sekali, jika tidak juga maka setahun sekali, sekiranya ini pun tidak dapat maka kerjakanlah sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.”
(Hadits Riwayat Abu Dawud, Ibnu Majah & Baihaqi dalam Sahih Tirmidzhi)


Ada banyak lagi hadits yang diriwayatkan oleh beberapa orang Sahabat r.anhum walaupun setengah ulama menolak hadits ini kerana menurut mereka mana mungkin mendapat ganjaran yang sedemikian banyak hanya dengan mengerjakan solat empat rakaat sahaja.


Terutama mengenai dosa-dosa besar yang tidak akan diampuni oleh Allah kecuali dengan bertaubat. Akan tetapi kerana hadits itu diriwayatkan oleh sebahagian besar para sahabat maka tidak mungkin untuk ditolak kerana itu adalah bergantung kepada belas rahim dari Allah SWT.


Solat Tasbih sangat penting dan Rasulullah SAW sendiri mementingkannya dan mengajarkan dengan penuh rasa belas kasih kepada ummatnya. Para Sahabat r.anhum, para tabiin, para ulama Islam, ahli-ahli hadits dan ahli-ahli fiqih serta ahli sufi sangat mementingk Solat Tasbih ini pada zaman mereka.

Seorang ulama hadits yang terkemuka, iaitu Imam Al-Hakim rah.a berkata. “Salah satu alasan yang menyatakan hadits itu sahih, adalah tiap ulama dan ahlullah sejak zaman tabi’in hingga zaman sekarang telah mengamalkan Solat Tasbih itu dan mengajarkannya kepada ummat Islam. Salah seorang daripadanya adalah Abdullah bin Mubarak rah.a iaitu guru kepada Imam Bukhari rah.a.

KAIFIAT SOLAT TASBIH


Sekranya dilakukan pada waktu siang hari maka hendaklah dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan satu salam manakala sekiranya dilakukan pada waktu malam maka hendaklah dikerjakan sebanyak 4 rakaat dengan 2 salam.


CARA MENGERJAKANNYA


Ada dua cara Solat Tasbih ini boleh dilakukan :-


Cara yang pertama sesudah kita berniat dan bertakbir, kita membaca doa iftitah. Selanjutnya kita membaca tasbih “Subhanallah Walhamdulillah Walaailahaillallah Wallahu Akbar” sebanyak 15 kali. Kemudian membaca ta’awudz dan Al-Fatihah serta surah. Sesudah itu membaca tasbih sebanyak 10 kali. Selanjutnya dibaca sebanyak 10 kali didalam rukuk, i’tidal, sujud, duduk diantara dua sujud dan sujud kedua. Tidak perlu dibaca sebelum tahiyat awal atau akhir.


Cara yang kedua pula bacaan tasbih sebanyak 15 kali dibaca selepas membaca Alfatihah dan surah. Selanjutnya tasbih dibaca sebanyak 10 kali didalam rukuk, i’tidal, sujud, duduk diantara dua sujud, dan sujud kedua dan sebelum bangun pada rakaat yang berikutnya. Dan juga tasbih dibaca sebelum membaca tahiyyat awal dan akhir.


Dalam beberapa hadits ada disebutkan bahawa ada tambahan didalam setiap Tasbih itu dengan “Laa Hawla Walaa Quwwata Illaa Billahil ‘Aliyyil ‘Azhim”


Surah-surah yang biasa dibaca disetiap empat rakaat itu adalah disarankan didalam beberapa hidits agar membaca 20 ayat didalam Al-Quran. Ada ulama berpendapat agar membaca dari Surah Al-Hadid, Al-Hasyr, As-Shaf, Al-Jumuah atau At-Taghabun. Ada pula sebahagian yang menyarankan Surah Al-Zilzilah, Al-‘Adhiat, At-Takatsur, Al-Asyr atau Al-Ikhlas. Namun kita juga boleh membaca mana surah didalam Al-Quran.


Jika anda terlupa membaca tasbih ini pada sesuatu tempat maka hendaklah diganti kepada tempat yang berikutnya. Tasbih-tasbih itu janganlah dihitung dengan lidah kerana Solat boleh menjadi batal tetapi boleh dihitung dengan jari dengan menekan jari-jari. Apabila dibaca sekali tekanlah satu jari tanpa menggerakkan-gerakkan jari itu dan begitu seterusnya.



DOA SOLAT TASBIH


اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ تَوْفِيْقَ أَهْلِ الْهُدَى وَأَعْمَالَ أَهْلِ الْيَقِيْنَ وَمُنَاصَحَةَ أَهْلِ التَّوْبَةِ وَعَزْمَ أَهْلِ الصَّبْرِ وَوَجَلَ أَهْلِ الْخَشْيَةِ وَطَلَبَ أَهْلِ الرَّعْبَةِ وَتَعَبُّدَ أَهْلِ الْوَرَعِ وَعِرْفَانَ أَهْلِ الْعِلْمِ حَتَّى نَخَافَكَ .




اَللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مَخَافَةًَ تُحْجِزُنَا عَنْ مَعَاصِيْكَ حَتىَّ نَعْمَلَ بِطَاعَتِكَ عَمَلاً نَسْتَحِقُّ بِهِ رِضَاكَ وَحَتَّى نُنَاصِحَكَ فِيْ التَّوْبَةِ وَخَوْفًا مِنْكَ حَتَّى نُخْلِصَ لَكَ النَّصِيْحَةَ وَحَتَى نَتَوَكَّلَ عَلَيْكَ فِيْ اْلأُمُوْرِ كُلِّهَا وَحَتَّى نُحْسِنَ الظَّنِّ بِكَ ، سُبْحَانَ خَالِقِ النُّوْرِ.

 “Ya Allah Ya Tuhan kami, kami memohon taufik daripada Mu sebagaimana orang-orang yang telah Engkau beri petunjuk dan jadikanlah amalan kami ini seperti mana amalan ahli yaqin dan jadikanlah kami dari golongan orang yang menerima nasihat orang-orang yang bertaubat dan keazaman kami seperti mana orang-orang yang sabar dan gementar kami seperti mana orang yang takut dan permohonan kami seperti mana permohonan orang yang suka kepada kebaikan dan beribadat seperti orang-orang yang warak dan jadikanlah kami termasuk kedalam orang takut kepada Engkau.”

"Ya Allah, kami memohon kepada Mu, jadikanlah kami golongan yang takut yang menghalang kami daripada melakukan maksiat sehinggalah kami beramal dengan taat kepaad-Mu amalan yang kami merasakan perlu mendapat keredhaan Mu dan juga sehingga kami bersungguh-sungguh pada bertaubat serta takut kepada Mu dan juga sehingga kami betul-betul ikhlas dan tawakkal kepada Mu dalam setiap perkara dan supaya kami menjadi orang yang baik sangka terhadap  Engkau, Maha Suci Engkau sebagai Pencipta.”

No comments:

Post a Comment